DATUK MUSTAFA BIN OSMAN
KETUA PENGARAH PENJARA MALAYSIA
( 17.10.2001 - 22.8.2009 )

Datuk Mustafa bin Osman dilahirkan pada 21 Ogos 1954 di Pontian, Johor. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Temenggung Abd Rahman dan kemudian pendidikan menengah di Sekolah Sultan Ismail Johor Bahru. Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Sains Kemasyarakatan (1974-1979).

Karier beliau bermula di Jabatan Penjara pada tahun 1980 di mana setelah menjalani latihan asas, beliau telah ditempatkan di Pusat Latihan Pegawai Penjara dengan memegang jawatan Timbalan Penguasa Penjara (KX5) sehingga tahun 1983. Pada tahun yang sama, beliau telah ditukarkan ke Penjara Marang dan bertugas di sana sehingga tahun 1986. Beliau telah dipilih mengikuti kursus Diploma Sains Pengurusan, INTAN mulai daripada 5 Mac 1984 hingga 19 Jan 1985.

Pada tahun 1986, beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Penguasa Penjara (KX4) dan ditukarkan ke Maktab Penjara Malaysia. Dalam tahun 1987, beliau telah dihantar berkursus "The Treatment of Offenders" di bawah rancangan Colombo di Jepun selama 3 bulan. Sekembali dari Jepun, beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Pengarah Penjara (Tingkatan Tertinggi G) dan bertugas di Bahagian Keselamatan IPPM. Pada pertengahan tahun 1988, beliau telah menghadiri Kursus Methodologi Latihan Antarabangsa di INTAN.

Pada tahun 1990, beliau menjadi pegawai yang menjaga Penjara Johor Bahru dengan jawatan Pengarah Penjara (Tingkatan Tertinggi G) sehingga tahun 1993. Kemudian dalam tahun yang sama, ditukarkan kembali ke IPPM menjadi Pengarah Bahagian Latihan. Pada tahun 1994, beliau telah dinaikkan pangkat ke Pengarah Penjara (Tingkatan Tertinggi F) dan menerajuai Bahagian Keselamatan sehinggalah dilatik menjadi Timbalan Ketua Pengarah dengan pangkat Komisioner Penjara.

Pada 16 Oktober 2001, beliau telah secara rasminya dilantik sebagai Ketua Pengarah Penjara, mulai 30 Jun 2008 ditukar kepada Komisioner Jeneral Penjara.