Kata Aluan Pengarah Muzium Penjara Malaysia

Bissmillahirrahman nirrahim


Assalamualaikum Wm Wb, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia, Melaka Maju Negeriku Sayang, Negeri Bandar Teknologi Hijau, Melaka 754 tahun dan Melaka Maju Fasa ke-Dua. Berkat, Tepat, Cepat


Syukur Alhamdulillah kerana dengan izin dan limpah rahmatNya, kita telah melangkah setapak lagi apabila Muzium Penjara Malaysia telah diwartakan sebagai Bangunan Warisan Di bawah Enakmen Pemuliharaan Dan Pemugaran Warisan Budaya 1988. Pengiktirafan ini bermakna Bangunan Penjara Banda Hilir telah wartakan dan terus terpelihara sebagai warisan sejarah yang amat bermakna kepada Jabatan Penjara khasnya.


Membuka tirai 2016 dengan memperolehi Naib Johan dalam Konvensyen Kumpulan Inovatif Dan Kreatif (KIK) Peringkat Negeri Melaka merupakan satu percubaan yang amat bermakna kepada seluruh warga Muzium Penjara khasnya. Walaupun berbeza bidang tugas dengan institusi koreksional lainnya namun keinginan untuk menaikkan imej dan prestasi Jabatan sentiasa menyemarakkan semangat untuk melakar kejayaan demi kejayaan melalui banyak percubaan yang tidak pernah henti!

Muzium Penjara Malaysia, Melaka juga merupakan Muzium pertama yang mendapat pengiktirafan EKSA (Ekosistem Kondusif Sektor Awam) daripada pihak MAMPU dan pengiktirafan ini menjadi pendorong kepada semua pegawai dan kakitangan institusi ini untuk sentiasa berusaha membuat penambahbaikan pada persekitaran tempat tugas. Selain menjadi tumpuan lain-lain badan kerajaan/ swasta untuk mencontohinya dari masa ke semasa.


Kejayaan yang ditempah di Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Muzium Padi Kedah pada Mei 2016 bukan sahaja untuk Jabatan Penjara Malaysia tetapi juga mewakili Negeri Melaka amnya. Kami telah memenanggi Anugerah Booth Muzium Terbaik Kategori Warisan Dan Sejarah daripada 30 penyertaan muzium seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Ia merupakan hasil komitmen kerja berpasukan yang tinggi sejak empat bulan yang lalu dengan kelulusan dari Bahagian Dasar Kepenjaraan, Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang Selangor.


Seiring dengan objektif Muzium Penjara yang berkonsepkan pendidikan, pengajaran dan kesedaran, banyak program/ aktiviti telah dirancang dan di laksanakan bersama semua lapisan masyarakat terutama pelajar sekolah dan golongan belia sepanjang tahun. Program Motivasi dan Kesedaran, Program Pendidikan Dan Pencegahan Dadah dan Program Pemantapan Disiplin merupakan antara permohonan yang sentiasa diterima oleh pihak pengurusan Muzium Penjara.


Program Merakyatkan Seni Budaya Nilai-Nilai Murni (Amalan atau Tradisi) berkolaborasi dengan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Negeri Melaka, PERKIM, PERZIM dan Persatuan Sahabat Muzium Melaka membawa mesej yang sangat jelas bahawa kita semua saling memerlukan. Penyatuan ikatan silaturahim ini akan memantapkan lagi keberkesanan penyampaian maklumat seluruhnya.


Sesungguhnya, Muzium Penjara Malaysia, Melaka sentiasa positif untuk bersama dengan masyarakat dan bersedia menerima kedatangan pengunjung/pelawat yang dikasihi. Kunjungan anda memberi peluang kepada kami untuk berinteraksi secara lebih dekat dan mesra selain memberi pengetahuan dan pengalaman yang anda tidak boleh perolehi di Muzium lain. Lantaran inilah Muzium Penjara yang pertama yang pernah dilahirkan di Malaysia dan Penjara pertama  di Malaysia juga yang dibuka kepada orang ramai. Bukan mudah untuk menjejakkan kaki dalam penjara kecuali anda seorang pesalah! Jadi ambillah kesempatan ini untuk meluaskan pandangan dan pengetahuan anda tentang kehidupan banduan/ penghuni dan kesediaan petugas-petugas mengalas bahu bagi mendidik mereka yang tersilap langkah ini supaya dapat kembali bersama dalam masyarakat sebagai warga negara yang lebih bertanggungjawab.


Banyak aktiviti dan program yang kami sediakan untuk para pengunjung, antaranya Program Pocket Show ( Suasana Kehidupan Banduan Dalam Penjara), Lawatan Berpandu  Malam Hari dan Mesej Dari Penjara (sesi temu bual dengan bekas-bekas banduan) akan menjadi program utama apabila anda mengunjungi Muzium ini. Setiap bulan (minggu ke-3 atau ke-4) program ini akan disediakan kepada para pengunjung bagi merasai pengalaman berada dalam tembok tinggi berduri, dan menjengah sebentar kedukaan yang berada di sebaliknya.


Kepelbagaian warisan sejarah silam institusi penjara seluruh Malaysia telah disatukan untuk tontotan semua lapisan masyarakat dengan kadar bayaran yang amat berpatutan. Kawah kolam mandi penghuni-penghuni Penjara Pudu yang kini tinggal kenangan, masih utuh di laman ini atau pintu yang berukir wajah si raja hutan pantulan warna emas tinggalan Inggeris, dan hasil lukisan jiwa penghuni, boleh anda saksikan di Muzium Penjara ini sahaja. Selain layanan mesra para petugas yang beruniform memberi kelainan secara total kepada pengunjung untuk beradaptasi dengan suasana sebenar dalam penjara.
Akhir kalam, saya sentiasa mengalu alukan kunjungan anda semua dan sentiasalah melayari laman web kami bagi mendapatkan informasi terkini.
Sekian, terima kasih.

Salam Hormat Dari
PP NORATIMAH BT ABU BAKAR
(Pengarah Muzium Penjara Malaysia, Melaka)