Program Manja Diri Bersama Nona 2011
Aturcara program dimulakan dengan kehadiran Pengerusi Puspanita Cawangan Kementerian Dalam Negeri, Y. Bhg. Datin Seri Nabihah Bt Hj Hassan. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi Puspanita Cawangan Kementerian Dalam Negeri iaitu Y. Bhg. Datin Zahrah Bt. Husin dan Pengerusi Cawangan kecil Jabatan Pendaftaran Negara, Y. Bhg. Datin Roba’aishah Bt Mohd Ghazali dan Pengerusi Cawangan Kecil Jabatan Penjara Malaysia, Y. Bhg. Datin Wira Noraini Bt Hj Man.
Susun atur majlis dimulai dengan acara senamrobik yang disertai seramai 100 orang ahli Puspanita Cawangan Kementerian Dalam Negeri. Selesai acara senamrobik, majlis diteruskan dengan ucapan oleh Cik Ida Abd Aziz, Editor Pengurusan Majalah NONA. Beliau melahirkan harapan agar program khusus untuk wanita diperbanyakkan dan pihak pengurusan NONA sentiasa bersedia untuk membantu persatuan wanita yang berminat.
Y. Bhg. Datin Seri Nabihah Bt Hj Hasan turut menyampaikan ucapan dan melahirkan harapan semoga segala ilmu dan ceramah berkaitan dengan wanita ini memberi manafaat dan kebaikan untuk semua ahli Puspanita. Y. Bhg. Datin Seri juga menasihati ahli-ahli agar sentiasa mementingkan soal penjagaan kesihatan demi kebahagiaan hidup dan keharmonian rumahtangga. Seterusnya Y. Bhg. Datin Seri Nabihah menandatangani Poster kempen “WANITA DAN KESIHATAN”.
Majlis diteruskan dengan program ceramah oleh penceramah jemputan dari “SUN FABULOUS” iaitu Dr. Aidil Azry yang menyampaikan ceramah berkaitan dengan kesan penggunaan bahan-bahan kosmetik dan perawatan-perawatan moden masa kini. Pelbagai persoalan dikongsi bersama ahli-ahli Puspanita yang hadir.
Seterusnya acara grooming dan para tetamu turut diberi tunjuk ajar tentang cara-cara bersolek yang betul oleh jurusolek jemputan. Majlis diakhiri dengan cabutan nombor bertuah untuk peserta yang hadir. Program ini telah memberi banyak pendedahan dan pengetahuan yang berguna untuk wanita khususnya ahli Puspanita.
Kali Terakhir dikemaskini (THURSDAY, 21 APRIL 2011 04:12)