MENCARI CINTA YANG HILANG

Kekasih..
Kurakamkan bahasa kalam ini
Sebagai tinta nuraniku yang tumpah
Kerana mata penanya yang telah retak dan patah
Lalu telah tenggelam kedalam laut rasa yang amat dalam

Ingin kukutip dan kuperlihatkan
Bunga rampai keresahanku..
Sekian lama ini
Betapa seringnya aku sibuk mengukur berapa kepaduan kasihmu
Betapa seringnya aku menebar jarring cemburu tak bertepi
Dan seringnya aku hamparkan pertanyaan..
Lihatlah..lihatlah kedasar hatiku
Lihatlah..lihatlah..dan lihatlah
Seringnya aku mengungkit cintamu, ketulusanmu
Bolehkah ianya hanya untukku, hanya milikku
Seringnya rajukku, tangisku dan tingkahku
Mencabar kelelakianmu
Pun kau masih disitu
Masih tidak membiarkan aku atau melepaskan aku
Persis merpati putih yang kehilangan arah
Sehingga aku alpa
Kenapa aku terlalu sibuk melayani nurani yang telah dibisikkan syaitan ini
Sepanjang lorong perkahwinan ini tidak ku dengar keluhanmu
Termasinkah hidanganku, termaniskah teh yang kuhidangkan buatmu
Maafkan aku, kekasih
Biarlah kucium tanganmu dan berilah kemaafan
Halalkanlah cintamu selama ini sebelum dalam waktu yang tinggal sedikit ini
Entah sebentar lagi Izrail datang membawa salam
Dan aku terlupa yang aku tiada apa-apa
Bahkan sebutir cintamu itu
Pun tak dapat kubawa bersama kealam abadi itu
Bahawa titian sehalus rambutku dibelah tujuh
Luasnya bumi Mahsyar
Dengan matahari sejengkal
Mampukah aku berjual beli dengan amalan sebesar debu

Duhai wanita yang hatinya terluka
Usahlah membuang waktu yang singkat ini
Menangisi cinta sementara sekadar pinjaman Allah
Bangkitlah, pandanglah cinta abadi Rabiatul Adawiyah
Seperti mana datangnya Kaabah mencari Rabi’ah
Bagaimana kecewanya Ibrahim Idham kehilangan Kaabah
Namun Rabiah berkata : “ Aku tidak mahu hanya melihat Kaabah, aku mahu Allah!! “
Duhai wanita yang terluka hatinya
Semakin dikejar cinta kekasih, semakin ia lari menjauh dan menjauh
Lalu ianya menjadi sia-sia
Carilah cinta seindah cinta Rabiatul Adawiah
Demikianlah..
Carilah iman
Carilah cinta Allah untuk membalut luka-luka di hatimu
Wahai isteri yang kehilangan cintanya..
 
Nukilan Rasa : Nur Aydawati bt Hamzah

Kali Terakhir dikemaskini (TUESDAY, 04 OCTOBER 2011 01:52)