Program Ziarah Biro Kebajikan Dan Majlis Sejuta Memori Biro Hal Ehwal Ahli Bersekutu Persiap Malaysia 10 April 2013

 

Pada 10 April 2013 program diteruskan dengan ceramah agama ‘Wanita Akhir Zaman’ oleh Al-Fadil Ustaz Azhar bin Ahmad. Ceramah ini membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita pada zaman moden ini. Ramai wanita pada akhir zaman ini tidak memiliki sifat-sifat seorang wanita seperti di zaman Rasullullah. Diharap agar ceramah yang diberikan dapat memotivasikan kaum hawa agar lebih berdisiplin dan berupaya menjadi seorang wanita yang solehah.

Program diteruskan dengan ucapan dan dialog bersama YBhg. Datin Sri Hjh. Noraini Binti Hj. Man, Yang Dipertua PERSIAP Malaysia. Dalam ucapan beliau menegaskan bahawa bertepatan dengan usaha PERSIAP Malaysia untuk merekodkan keahlian Ahli Bersekutu, PERSIAP Malaysia berusaha menyusun aktiviti yang khusus dengan menjaga kebajikan Ahli Bersekutu. Contohnya dari segi kebajikan iaitu melawat ahli yang sakit,, ahli yang uzur dan apabila ada kematian. Manakala, aktiviti keilmuan yang berterusan iaitu majlis usrah, bacaan YASSIN dan Doa Selamat. Ke arah memberi maklumat berkaitan dengan kesihatan ahli, seminar dan ceramah kesihatan cuba diusahakan dari masa ke semasa. PERSIAP Malaysia sentiasa membuka ruang untuk Ahli Bersekutu memberi pandangan dan cadangan agar dapat dimanfaatkan oleh semua ahli. Beliau juga menyarankan agar ahli PERSIAP tidak meletakkan pangkat suami untuk merendahkan diri mereka dan melibatkan diri dalam PERSIAP. Justeru itu, bertepatan dengan usaha PERSIAP Malaysia ‘ilmu dipertingkatkan, kebajikan diutamakan’ biro ini ditubuhkan bagi menjaga kebajikan ahli PERSIAP iaitu Biro Kebajikan, Biro Pendidikan dan Pembangunan Keluarga dan Biro Hal Ehwal Ahli Bersekutu PERSIAP. Menceburkan diri dalam persatuan sangat penting dan memberi manfaat kepada kita. Dengan persatuan kita dapat merapatkan perhubungan muhibbah dan silatulrahim serta menyatupadukan isteri-isteri dan pegawai-pegawai di semua peringkat, menggalakkan perkembangan, pengetahuan, kemahiran serta kemajuan diri ahli-ahli persatuan menerusi ceramah, menggalak dan melibatkan ahli-ahli dalam kerja-kerja amal/kebajikan bagi faedah ahli dan keluarga mereka.

Pada sebelah petang pula, rombongan bersama Puan Hasliza binti Mayan Pengerusi PERSIAP, PLPP dan ahli PERSIAP PLPP ke kediaman Allahyarmam Kpl.8246 Abdul  Rahman bin Yusof di Kampung Expo, Kamunting Perak. Beliau merupakan kakitangan Penjara Seberang Perai dan menghidap kanser usus. Seterusnya, rombongan berangkat balik ke Kajang.

Program ziarah Biro Kebajikan dan Majlis Sejuta Memori Biro Hal Ehwal Ahli Bersekutu PERSIAP Malaysia telah berjaya mencapai objektifnya bukan sahaja mewujudkan hubungan yang lebih erat di antara ahli bahkan memberi pengalaman yang baru dan pengetahuan kepada PERSIAP. Adalah diharapkan agar program ini dapat dijadikan sebagai salah satu aktiviti PERSIAP untuk masa akan datang samada di peringkat cawangan mahupun induk