Info Korporat
Facebook POA
Buletin

Semadah Kata Pengerusi

Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera Salam 1Malaysia dan Salam 1Penjara.Terlebih dahulu saya melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas rahmat dan inayahNya, saya telah dipilih sebagai Pengerusi Persatuan Persatuan Pegawai Penjara. Saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada perwakilan dan seluruh ahli POA, terutamanya Y.Bhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar Ketua Pengarah Penjara Malaysia, atas kepercayaan untuk saya memikul amanah yang amat besar ini bagi menerajui persatuan yang menaungi kita semua.

Dengan kepercayaan yang diberikan, saya berjanji akan melaksanakan tanggung jawab yang besar ini dengan penuh amanah. Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak akan dapat melakukannya secara bersendirian. Justeru, dalam memastikan kesinambungan tugas-tugas sedia ada, saya berharap rakan-rakan exco , rakan-rakan sejawatan serta seluruh ahli POA dapat bekerja bersama-sama saya, memberikan sokongan padu dan kerjasama yang erat dalam usaha melonjakkan peranan persatuan ke satu tahap yang lebih baik supaya selari dengan aspirasi Y.Bhg. KJP Dato' Sri Haji Zulkifli bin Omar dalam mentransformasikan Jabatan ke arah perkhidmatan koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020.

Setiap kepimpinan POA mempunyai gaya dan stail yang tersendiri apabila menerajui persatuan. Namun, semuanya dilakukan atas satu tujuan dan paksi yang sama, iaitu untuk menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh warga Jabatan Penjara Malaysia. Di kesempatan ini, saya ingin memanjangkan penghargaan kepada KPj. Jamaluddin bin Saad, Pengarah Pengurusan Banduan yang telah berjaya memimpin persatuan dengan cemerlang dengan meletakkan prinsip-prinsip serta asas yang kukuh untuk kita terus memberikan perkhidmatan terbaik. Oleh yang demikian, selain meneruskan serta mempertingkatkan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh beliau, saya berhasrat untuk mengamalkan dasar kepimpinan terbuka, jujur, mesra, ikhlas serta berterus terang dalam semua urusan di pelbagai peringkat anggota dengan menekankan kepada aspek hubungan kemanusiaan dan keprihatinan.

Saya mengalu-alukan apa jua pandangan, teguran serta cadangan penambahbaikan demi memartabatkan perkhidmatan koreksional yang telus, dinamik dan progresif. Seluruh ahli POA dipersilakan melayari facebook www.facebook.poa bagi mengemukakan segala pandangan dan permasalahan yang berkaitan dengan kebajikan dan pekerjaan seharian. Kita perlu melontar sejauhnya budaya surat layang kerana ianya boleh menjatuhkan imej Jabatan dalam perkhidmatan awam. Bahkan boleh menjejaskan segala permohonan jabatan samada elaun, kenaikan gaji dan penambahbaikan skim perkhidmatan. Gunakanlah medium facebook ini dengan sebaik mungkin tanpa menjejaskan imej jabatan dan persatuan kerana ia boleh dilayari bukan sahaja oleh ahli POA bahkan termasuk orang awam. Maklumat berkaitan dengan persatuan juga boleh diperolehi melalui laman web jabatan www.prison.gov.my .

Saya dan barisan exco akan meneruskan program-program kebajikan yang telah dan sedang dilaksanakan bahkan kami telah menggariskan keutamaan-keutamaan kerja yang perlu dilaksanakan sepanjang sessi saya menerajui POA ini. Antaranya adalah:

• Bayaran Insentif Khas Pegawai Penjara (BIK) dinaikkan dari RM 100.00 kepada RM 300.00 dan diperluaskan kepada Ibu Pejabat Penjara serta Pusat-pusat Latihan.

• Cadangan agar diwujudkan Laluan Kerjaya Pegawai Penjara

• Elaun Pemandu Jabatan disemak semula

• Elaun Pakaian Pegawai Kanan dan Review Order

• Elaun Khas ( Gantung)

Begitulah antara usaha-usaha yang akan saya tekankan sebagai mukadimah dalam melaksanakan tugas baru ini. Kita semua sedar, sesungguhnya kehendak dan permintaan ahli semakin meningkat dan cabaran masa hadapan semakin kompetitif dan getir. Dengan sokongan serta kerjasama yang erat, kita akan terus melangkah dengan lebih yakin dalam usaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaan serta kelancaran program-program Jabatan. Marilah kita sama-sama bersatu melaksanakan tugas, melunaskan tanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk memastikan visi dan misi Jabatan tercapai dan penyampaian perkhidmatan koreksional kepada rakyat terus diperkasakan.

Oleh itu, saya menyeru setiap anggota penjara agar bersatu teguh serta memperkukuhkan saf dalam mendepani segala kemungkinan yang bakal dihadapi. Namun demikian, suka saya mengingatkan, dalam apa jua perkara yang dilakukan, jangan sesekali dibelakangkan aspek integriti. Sifat integriti akan terus menjadi teras jati diri kita semua. Lakukanlah setiap tugas yang diamanahkan dengan niat yang betul kerana ia akan menyumbang kepada perolehan rezeki yang halal dan diberkati.

Sekian, terima kasih.

TKP ARIFFIN BIN MOHD NOOR

Bantuan Pelajaran Tan Sri Murad Ahmad
Pelawat
29014
TodayToday23
YesterdayYesterday35
This_WeekThis_Week157
This_MonthThis_Month601
All_DaysAll_Days29014
Akta Penjara Malaysia 1995